Kerjaya Ainon Mohd

Beliau berkhidmat di DBP dari 1973 - 1988, dan pernah menjadi Pegawai Penyelidik Bahasa dan Sastera, Ketua Unit Terjemahan Sastera, Ketua Unit Penyelidikan Bahasa dan terakhir sebagai Ketua Bahagian Terjemahan. Beliau juga pernah menjadi pensyarah sambilan di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada tahun 1988, beliau menubuhkan syarikatnya sendiri, PTS Consultants Sdn Bhd dan memulakan perkhidmatan konsultansi dan kejurulatihan dalam bidang kreativiti. Antara yang pernah menjadi klien beliau adalah Bank Negara Malaysia, Shell, ESSO, BP, Amway, Malayan Banking, Perwira - Habib Bank, Telekom, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pelajaran Malaysia, Badan Pencegah Rasuah dan banyak lagi. Di samping itu, syarikat beliau juga terlibat dalam pembangunan perisian penyemak ejaan dan tatabahasa bersama MIMOS dan Microsoft Corp.

Di samping itu, dalam tahun 1990-an, beliau mempunyai pojok Teknik Berfikir dalam Utusan Malaysia. Penglibatan sebagai jurulatih bidang berfikir dan kreativiti serta pojok ini memberikan beliau gelaran De Bono Malaysia.